Google

Monday, November 3, 2008

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit yang tenat. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat. Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, "Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan" dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Corak pemakanan menentukan keadaan kesihatan kita kerana diet yang tidak teratur memburukkan kesihatan. Seorang Pakar Pemakanan dari Amerika Syarikat, Frances M Lappe berkata rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya Diet for a Small Planet beliau berkata penduduk negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat. Tabiat ini juga mulai merebak di kalangan rakyat Malaysia yang pada umumnya memakan kian banyak makanan berproses. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Adakah diet anda mempunyai ciri-ciri seperti berikut?

  • Terlalu banyak lemak dan kolesterol
Makanan seperti daging telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju merupakan sumber protein, vitamin dan galian yang baik tetapi ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol.
  • Terlalu banyak gula
Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.
  • Terlalu banyak garam
Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi terlalu banyak garam.
  • Terlalu sedikit serat
Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70 - 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat di dalam usus besar dan mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh. Kita perlu mengimbangi tenaga (makanan) yang kita perolehi dengan tenaga yang digunakan untuk kegiatan seharian. Diet anda menentukan keadaan kesihatan anda sepertimana pepatah diri anda ialah apa yang anda makan. Oleh itu penting bagi anda mengamalkan tabiat makan yang baik dari peringkat muda lagi.

0 comments: