Google

Monday, November 3, 2008

5 Tips Kembali Langsing

Hari raya yang lalu, tentunya ramai antara kamu lupakan seketika soal diet. Maklumlah hidangan yang dihidangkan semestinya lazat-lazat belaka. Namun kamu perlu beringat, jika tidak berwaspada, berat badan kamu boleh naik mendadak. Kamu alami masalah ini? Jangan risau, di bawah ini disenaraikan beberapa tips yang mungkin boleh kamu jadikan panduan dalam usaha kamu untuk mengembalikan bentuk tubuh ideal kamu itu!

  1. Disiplin diri – Sudah sedia maklum, hidangan yang disajikan semasa sambutan perayaan agak manis dan pelbagai rasa. Misalnya kuih tat nanas, suji, semprit, dan sebagainya. Sudah tentu kamu rambang mata, makan apa saja! Oleh itu, apa kata, kembali dan rujuk semula kepada jadual pemakananmu selama ini. Usah berlengah takut nanti kamu terus melupakannya. Lebih baik lagi jika kamu jadikan puasa enam sebagai salah satu cara untuk kembali mengawal kadar pengambilan makananmu! Yang penting kamu perlu berdisiplin untuk menjayakannya.
  2. Elak makanan tertentu – Pastikan juga kamu elak daripada menjamah makanan berat seperti nasi lemak atau roti canai setiap kali bersarapan atau makan pada lewat malam. Ini kerana, menu seperti itu mengambil masa yang lama untuk dihadamkan sekali gus memberi implikasi buruk terhadap bentuk badan khususnya di bahagian perut! Selepas menyambut raya, tidak salah jika kamu ubah menu harian demi menjamin diri sentiasa solid!
  3. Senaman – Tampil ramping dengan senaman! Setelah seronok sakan menjamah macam-macam hidangan pada hari raya lalu, kini sudah tiba masanya untuk kamu kembali fit, dengan mengamalkan senaman terutamanya di bahagian perut dan pinggang. Amalkan selama 20 minit setiap sesi dan kamu pasti peroleh hasil yang memuaskan! Tidak hanya menyumbang kepada kesihatan tubuh, malah senaman mampu membakar kalori yang tidak diperlukan badan. Sekaligus kamu boleh memiliki bentuk pinggang idaman. Bukan, begitu?
  4. Banyakkan minum air – Tip ini juga merupakan salah-satu alternatif untuk kamu yang dambakan pinggang ramping dan ‘terbentuk’. Amalkan minum air suam sekurangkurangnya lapan gelas sehari dan elakkan daripada mengambil minuman yang bergas dan manis. Tidak dinafikan semasa lebaran, hidangan minuman sedemikian sering dihidangkan buat tetamu. Yang pasti, pengambilan air suam dalam kuantiti yang disyorkan mampu memberi kelembapan pada kulit dan pada masa sama boleh nyahkan toksin yang tidak diperlukan badan.
  5. Kawal makan – Ini tentunya menjadi perkara utama bila bercerita tentang bagaimanakah cara untuk mendapatkan bentuk tubuh yang langsing. Sememangnya diakui, pengawalan makanan tertentu, antaranya elak daripada ambil masakan bergoreng, berminyak, berlemak, makanan yang mengandungi glukosa yang tinggi, dan sebagainya mampu memberi kesan yang baik terhadap bentuk tubuh kamu. Jika kamu mampu mengawal semua itu, harapan kamu untuk mengembalikan bentuk tubuh bakal menjadi realiti! Jika pada hari raya lalu kamu tidak begitu mengambil berat soal ini, jom, mulai sekarang kawal pemakanan kamu dengan sebaik mungkin!

0 comments: